Saturday 25 February 2012

Teknik Mnemonik


Secara umumnya, mnemonik adalah alat membantu akal untuk mengingat sesuatu. Perkataan mnemonik (mnemonic) adalah daripada perkataan Greek yang bermaksud ‘ untuk mengingati’.


Mnemonik telah mula digunakan sejak lebih seribu tahun yang lalu oleh Yunani dan Rom. Bangsa Yunani kuno terlalu memuja kemampuan ingatan sehingga mereka mempunyai dewa yang bernama Mnemosyne, bermaksud '’berfikir dengan teliti’. Pelbagai strategi ingatan dirancang oleh mereka untuk membantu mengingat maklumat, bertujuan menarik perhatian pendengar ketika berpidato atau berdebat di Senat.


Perkataan mnemonik moden merujuk kepada teknik memacu ingatan untuk mengingati fakta- fakta dengan mengaitkannya dengan maklumat dan data sedia ada yang lebih ringkas dan mudah. Beberapa teknik mnemonik moden telah disusun secara sistematik oleh Michael Perssley dan Joel Levin.


Daripada teknik ini, apa yang difahami ialah apabila ia digunakan untuk mengingat sesuatu, proses ingatan akan menjadi lebih mudah. Mnemonik menggunakan prinsip asosiasi, iaitu informasi yang ingin diingati dikaitkan dengan informasi yang lain yang mudah diingat. Antara teknik mnemonik yang biasa digunakan ialah kaedah loci, sistem kata kunci, teknik menghubungkan, teknik akronim dan teknik akrostik.


Selain daripada memudahkan ingatan, teknik ini dirasakan sangat membantu mengingati fakta – fakta yang banyak dan rumit serta meningkatkan input ingatan, mengurangkan tekanan minda dan membantu meluaskan skop ingatan dalam kadar yang maksima.


Dalam proses memahami diri dan orang sekeliling, teknik ini memberi kesedaran kepada kita bahawa kemampuan ingatan sebenarnya dapat ditingkatkan, minda ini dapat mengingati sesuatu lebih banyak daripada yang dijangkakan serta dengan menggunakan teknik yang sesuai akan memudahkan proses ingatan.


Melalui pengamatan saya, didapati ramai yang tidak menggunakan minda untuk mengingati sesuatu dengan sebaik mungkin. Mereka lebih gemar mengingati sesuatu dengan cara hafalan atau merujuk kepada bahan rujukan dan sebagainya tanpa berpandukan kepada apa – apa teknik ingatan. Antara faktor kegagalan tersebut ialah tidak terdedah kepada teknik yang sesuai sedangkan ianya sangat membantu dalam menjalani kehidupan seharian. Selain daripada itu, sikap malas untuk mencuba teknik – teknik yang membantu ingatan juga merupakan salah satu sebab mengapa ramai mempunyai tahap ingatan yang lemah.


Justeru, kegunaan teknik mnemonik pada masa sekarang dan akan datang sangat diperlukan terutama pelajar yang perlu mengingati pelbagai fakta penting. Ada antara fakta tersebut sukar untuk diingati kerana terlalu panjang dan berbagai. Sebagai contoh mudah, dalam mengingati urutan ukuran panjang dalam sistem metrik, kita boleh  menggunakan teknik mnemonik dengan menggunakan ayat; Maka Cina Dengan Melayu Duduk Hampir Kilang. Ini adalah teknik akronim bagi urutan ukuran metrik: Milimeter, Centimeter, Decimeter, Meter, Decameter, Hektometer dan Kilometer.


Begitu juga dalam mempelajari bahasa asing, teknik mnemonik sangat membantu mengingati perkataan baru dan ertinya. Sebagai contoh, bagi mengingati perkataan pintu, cermin dan memukul dalam bahasa Arab adalah dengan menggunakan perkataan yang sama bunyinya dengan bahasa Melayu. Jadi pintu (baa-bun) sama bunyinya dengan haiwan babun (babun di pintu), cermin (mer-ah) sama bunyi dengan merah (cermin warna merah) dan memukul (doroba) sama bunyinya dengan nama pemain bola sepak Drogba (Drogba memukul pemain bola).


Manakala dalam menjalani aktiviti seharian, antaranya ketika hendak membeli barangan rumah di kedai, dengan kaedah loci saya membayangkan perkakas di rumah dengan mengikut lokasi kedudukannya bagi membantu mengingati barang - barang yang ingin dibeli. Sebagai contoh, saya membayangkan mesin basuh, dapur masak, sinki, bekas rempah ratus dan peti ais. Ini akan membantu mengingati untuk membeli sabun pencuci kain, minyak masak, span membasuh pinggan, garam dan stok ikan.


Kesimpulannya, ingatan sebenarnya boleh dipertingkatkan sekiranya kita menggunakan teknik yang sesuai. Antara teknik yang sangat membantu itu ialah teknik mnemonik.

No comments:

Post a Comment